Assalamualaikum.
I found this piece I wrote in 2019 tucked neatly in my Google Drive. I completely forgot about this piece, not sure I wrote it for what kind of occasion. I don't want to lose it so I'll keep it here for memories.
![]() |
| Younger Opah and toddler me at arwah Tok Tam's beautiful garden |
Aku selalu percaya bahawa semua orang pasti ada seseorang yang mereka jadikan sebagai contoh teladan yang mereka sanjungi dalam kehidupan mereka termasuklah aku. Seseorang yang aku kagumi itu merupakan seorang wanita yang manis sekali. Beliau tinggal di sebuah rumah kecil bertempat di kawasan perumahan yang aman. Wanita berikut ialah nenekku.
Nenek ataupun opah, gelaran mesraku untuknya ialah ibu kepada emakku. Tingginya cuma 155sm, tak terlampau kurus tak juga terlampau berat tetapi bagiku berikut adalah sempurna sekali kerana opah aku sedikit berisi dan mesra dirangkul. Menurut mak, opah sangat cantik dan tinggi sewaktu beliau muda-muda dahulu. Pipinya bak pauh dilayang bukti dirinya yang jauh sekali dimamah usia. Matanya dulu berwarna coklat cair, kini berwarna kelabu asap yang kadangkala bersinar ditangkap cahaya. Walaupun diambang tahun ke-78, beliau masih kelihatan cantik sekali malah kian berseri-seri.
Tujuan aku memilih opah sebagai seseorang yang aku kagumi adalah kerana beliau menggambarkan pelbagai ciri-ciri dan nilai-nilai yang positif terhadap orang-orang disekelilingnya dan juga dirinya sendiri. Antaranya, opah adalah seorang yang penyayang, baik dan lembut orangnya.
Opah juga seorang yang sangatlah pemurah. Beliau sering meletakkan keperluan keluarga sebelum dirinya sendiri. Bukti kasih sayang terhadap kami yang tak berbelah bahagi ini dapat dilihat dari masakannya. Setiap hari selepas kami balik dari sekolah, makanan tengah hari sedia terhidang di atas meja dan juga air teh dan makanan ringan yang opah buat sendiri. Aku amat berharap suatu hari nanti aku dapat memasak sehebat opah.
Seterusnya, opah merupakan seorang suri rumah yang sangat rajin, tekun dan anggun. Setiap perkara yang dilakukannya tampak ayu dan meninggalkan kesan yang mendalam terhadap sekelilingnya. Opah sering berhati-hati dalam tutur katanya kerana beliau tahu bahawa apa yang kita tulis dan cakap mampu memberikan impak yang mencetuskan bait-bait kata itu melekat dalam memori. Aku sangat suka berbual dengan opah dan mendengar cerita-ceritanya. Kata-kata dan nasihat-nasihatnya yang bijak sering menusuk kalbu membuatkan aku sentiasa mencerminkan diri kembali.
Selain daripada mengait dan bercucuk tanam, opah gemar membaca untuk mengisi masa lapang dan baginya itu merupakan salah satu cara untuk dirinya menimba ilmu pengetahuan. Opah sering memberikan motivasi kepada aku agar membaca buku selalu dan selalu mengingatkan aku untuk tidak membazir masa terutamanya masa-masa yang aku luangkan di media sosial kerana masa itu emas.
Opah mungkin seorang yang pemalu dan kadangkala opah juga berasa sedikit kurang yakin dengan dirinya sendiri akan tetapi perkara-perkara berikut tidak menghalang opah daripada menjadi seorang wanita yang kuat dan berdikari terutamanya dalam menghadapi onak dan duri dalam mengecapi kebahagian dalam kehidupan. Opah telah memainkan peranan yang amat penting dalam mempengaruhi pandanganku terhadap dunia ini. Tidak pernah sekalipun opah rasa muak mendengar keluhan dan celotehku malah sering membangkitkan semangat untuk tidak berputus asa. Tak dapat dinafikan lagi bahawa opahlah permata paling berharga buat diriku. Tanpanya, aku mungkin bukan seperti yang sekarang. Personalitinya yang positif sedikit sebanyak mempengaruhiku untuk menjadi diriku sebenar yang lebih baik dan sentiasa berusaha untuk kearah itu. Aku sangat terinspirasi oleh opah dan aku mahu menjadi sepertinya maka opah akan sentiasa menjadi orang yang kukagumi dalam hidupku.
